Wednesday 30 May 2012

Jenis Otot dan Latihan

Bersambung dari Entri Jenis Otot
Bagaimana mengetahui serat otot yang mana tinggi dalam seseorang? Cara yang paling tepat adalah melalui ujian tisu. Biasanya ada ujian untuk atlet, tetapi saya tidak pasti di Malaysia. Mungkin di bawah ISN. Peratusan jenis serat otot menentukan jenis latihan yang sesuai. Sebagai contoh, seorang atlet dengan serat otot jenis laju (fast-twitch) tidak akan dapat membuat latihan dengan ulangan tinggi jika dibandingkan dengan atlet setaraf tetapi tinggi serat otot jenis perlahan (slow-twitch).
Begitu juga, seorang atlet dengan serat otot jenis perlahan tidak akan mampu mengangkat seberat atau berlari selaju seorang atlet setaraf yang tinggi serat otot jenis laju. Dalam sekumpulan atlet yang sama, sebagai contoh, sekumpulan atlet pelari pecut atau pelari jarak jauh, masih terdapat perbezaan dalam jenis serat. Tidak semua pelari pecut akan mempunyai peratusan sama serat otot jenis laju dan begitu juga dalam kumpulan pelari jarak jauh. Jika kita lihat, ada pelari pecut dapat menghabiskan 10×200 meter dalam latihan dengan mudah berbanding yang lain mungkin kelesuan.
Bergantung kepada atlet tertentu, seorang jurulatih perlu pandai menentukan masa rehat untuk mereka. Mereka yang cepat keletihan perlu diberi masa rehat yang lebih. Ketika ini datang prinsip latihan individual, cara latihan yang berbeza mengikut individu. Begitu juga dalam bina badan. Ada yang mengadu, latih bersama, tetapi kenapa kawannya lebih cepat menjadi daripada dia. Kesesuaian mengikut latihan sama itu tiada walaupun saiz badan mungkin sama.
Melatih serat otot jenis laju untuk ketahanan atau jarak jauh tidak akan menambah serat otot jenis perlahan atau sebaliknya. Seseorang itu boleh dilatih itu tujuan berbeza tetapi bukan menambah serat otot tertentu. Dengan latihan yang betul, serat otot jenis laju II boleh mengambil beberapa ciri ketahanan serat otot jenis laju I tetapi tidak ada hubungan serat otot jenis laju dan perlahan. Seseorang dengan serat otot jenis perlahan yang tinggi akan kekal sama sehingga ke akhir hayat.
Bagaimana dengan kes seorang yang mungkin ada 50 peratus serat otot jenis laju dan 50 peratus serat otot jenis perlahan? Serat otot jenis laju biasanya mempunyai luas keratan rentas yang lebih besar daripada serat otot jenis perlahan. 65 peratus mungkin serat otot jenis laju dan 35 peratus serat otot jenis perlahan. Dengan latihan, bilangannya akan kekal sama cuma keratan rentas berubah. Dengan latihan kekuatan, serat otot jenis perlahan akan mengecil dan serat otot jenis laju akan membesar.
Disebabkan faktor membesar dan mengecil ini, seorang atlet pecut mungkin akan menambah kekuatannya dan dalam masa sama berlaku pengurangan stamina. Begitu juga mereka yang melatih stamina, serat otot jenis laju akan mengecil dan serat otot jenis perlahan akan membesar.
Bolehkah seseorang dilatih kedua-duanya? Boleh dan sememangnya perlu latih kedua-duanya tetapi peratusan latihan bergantung pada jenis sukan atau mungkin posisinya. Sebagai contoh, dalam bola sepak, seorang striker tidak sama dengan penjaga gol.
Setelah dikenal pasti, peratusan jenis otot, posisi dalam pasukan dan beberapa faktor lagi, latihan disusun mengikut prinsip sistem latihan. Boleh rujuk di entri Sistem Latihan.

No comments: