PERBINCANGAN kita kali ini adalah berkisar mengenai blacklist, CTOS dan CCRIS. Seringkali, ramai yang terkeliru di antara ketiga-tiganya. Satu yang pasti, sekiranya rekod anda di dalam mana-mana satu daripadanya adalah kurang memuaskan, kesukaran akan dialami apabila perlu berurusan dengan pihak bank pada lain masa.
Kita kenali dahulu apa itu Blacklist atau senaraihitam? Ia adalah akibat kegagalan diri sendiri atau orang yang anda jamin untuk membayar balik pinjaman bank atau pinjaman Kerajaan seperti PTPTN atau pinjaman MARA. Bahkan, ia tidak terbatas setakat di sana sahaja. Anda juga boleh disenaraihitamkan sekiranya gagal menjelaskan hutang kepada Institusi Perniagaan yang menawarkan skim sewabeli. Misalnya pembelian perabot, mesin basuh dan seumpamanya. Dengan syarat, kes ini telah dibawa ke mahkamah oleh institusi perniagaan terlibat. Jadi berhati-hati dalam pembelian anda.
Anda boleh menyemak sama ada bebas daripada blacklist atau tidak dengan membuat penyemakan sendiri di bank, badan kerajaan atau syarikat terbabit (yang anda ada hutang dengannya).
CTOS (Credit Tip Off Services) secara mudahnya adalah sebuah badan atau mungkin paling tepat merupakan pengkalan maklumat yang mengumpul data-data saman atau perintah muflis yang dikeluarkan terhadap individu atau syarikat. Pada bila-bila sekiranya terdapat kes-kes saman atau muflis, mereka merupakan antara pihak yang akan dimaklumkan terlebih dahulu.
Bagaimana untuk membuat semakan sama ada tersenarai dalam CTOS atau pun tidak? Anda boleh datang sendiri ke pejabat CTOS atau menggunakan mana-mana gerbang berikut: www.myeg.com.my, www.e-services.com.my atau www.rilek.com.my.
Tahukah anda bahawa setiap rekod bayaran terhadap pinjaman, gadaijanji, kad kredit, overdaft atau lain-lain yang anda lakukan setiap bulan kepada mana-mana bank akan mereka hantar ke Bank Negara Malaysia dalam format laporan bulanan?
Laporan-laporan bulanan ini akan di uruskan oleh Jabatan Kredit (Credit Bureau) dan akan dimasukkan ke dalam sebuah sistem pengumpulan maklumat yang dipanggil CCRIS (Central Credit Reference Information Systems). Sistem CCRIS inilah yang dipanggil pengkalan data bersama itu. Mana-mana bank yang berdaftar boleh mencapai maklumat kredit seseorang atau sesebuah syarikat pada bila-bila masa apabila diperlukan.
Maksudnya, tidak kira anda peminjam bermasalah atau tidak, maklumat anda memang sudah sedia ada di dalam sistem CCRIS. Untuk mendapatkan laporan terkini CCRIS anda, kunjungilah BNMLINK di alamat seperti di bawah:
Ground Floor, D Block, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur.
Tel: 1-300-88-5465 (1-300-88-LINK) (Overseas: 603-2174-1717)
Fax: 603-2174-1515 E-mail: bnmtelelink@ bnm.gov.my
Tersenarai di Blacklist atau CTOS akan menjejaskan peluang anda untuk membuat pinjaman untuk apa jua tujuan pada masa-masa akan datang. Jadi sentiasa semak dari masa ke masa dan pastikan nama anda bersih.
Sumber Asal: Apa Sebenarnya Makna Blacklist, CTOS Dan CCRIS Ini? | Julmazli Dot Com
No comments:
Post a Comment