Monday, 11 July 2011

Luahan perasaan di internet





Penggunaan internet memang sangat pesat berkembang. Jika dulu, kita tidak mengenal apakah itu internet sewaktu diusia sekolah rendah, kini perkara itu sudah jauh berbeza. Kanak-kanak seawal usia 6 tahun sudah tahu apa itu internet dan mereka juga sudah tahu menggunakan kemudahan itu pada usia kanak-kanak.

Tidak dinafikan, internet memberi pelbagai kemudahan kepada kita semua. Semua perkara boleh menjadi mudah dengan adanya kemudahan internet ini. Dengan sekali klik, semua kerja dapat dilakukan dengan pantas. Selain itu, kita juga boleh menimba pelbagai ilmu dari dalam internet. Tetapi, tidaklah dapat kita semua nafikan, internet juga boleh mendatangkan kesan yang sangat buruk jika kita tidak memanfaatkannya dengan betul.

Jika kita lihat fenomena masyarakat tidak kiralah sama ada di dalam Malaysia, mahupun di negara luar, mereka menggunakan internet sebagai medium untuk mereka melepaskan pelbagai perasaan geram dan tidak puas hati mereka terhadap individu lain.

Sebagai contoh kita lihat sahaja di laman sosial Facebook ataupun Twitter, ada sahaja antara rakan mahupun ahli keluarga kita yang akan meluahkan rasa tidak puas hatinya terhadap individu lain melalui status mereka. Jika bahasa yang digunakan itu baik, tidaklah menjadi masalah. Tetapi sebaliknya berlaku jika bahasa yang digunakan amatlah kasar dan boleh menyinggung perasaan orang lain.

Selain di laman sosial, terdapat juga medium internet yang lain seperti laman-laman blog. Ramai antara kita mungkin memiliki blog peribadi mereka. Di blog itu, mereka bebas untuk menulis apa sahaja termasuklah menjadikan blog sebagai diari dan tempat meluahkan segala isi hati termasuk rasa tidak puas hati mereka terhadap individu tertentu.

Sebenarnya, dengan melakukan perkara sedemikian, kita telah menjatuhkan air muka dan maruah orang lain, terutama sekali jika kita dengan secara langsung mendedahkan identiti orang yang tidak disukai itu. Secara tidak sedar juga, kita sebenarnya telah menjatuhkan air muka kita sendiri. Dengan meluahkan perasaan tidak puas hati kita untuk dibaca/ditatap oleh orang lain, secara tidak langsung akan membuatkan orang lain dapat menilai bagaimanakah sifat/perangai sebenar kita. Hal ini menjadikan mereka berasa tidak hormat terhadap kita terutama apabila kita menggunakan kata-kata kesat yang boleh mengundang rasa kurang senang orang yang membacanya.

Sebagai umat Islam, bukankah sifat sabar itu amat-amat dituntut? Kerana itu dikatakan Sabar itu sebahagian daripada Iman. Bukankah juga kita sebagai umat Islam tidak boleh mengaibkan orang lain? Apatah lagi mengaibkan diri sendiri. Kita juga sebagai umat Islam dituntut untuk saling memaafkan manusia lain.

Sentiasalah berpegang dalam hati dan minda kita “What goes around, come around”. Apa sahaja yang kita lakukan, tidak kira perkara tersebut baik ataupun tidak, kita pasti akan mendapatkan balasan yang sama dengan perbuatan yang kita lakukan itu. Jika ada orang lain telah membuatkan perasaan kita terguris, maafkan sahaja perbuatan mereka. Atau paling tidak pun, lupakan sahaja apa yang mereka lakukan terhadap kita itu kerana pada suatu saat, mereka pasti akan mendapat balasan mereka. Tidak perlu kita memanjangkan rasa tidak puas hati kita itu di alam maya ini.

Akhir kalam, marilah kita sama-sama hayati maksud hadith di bawah ini.

Daripada Abu Hurairah radhiyallahu ‘anhu, bahawa Rasulullah shallallahu ‘alayhi wa sallam telah bersabda: “Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu berkata yang baik-baik atau diam sahaja. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat maka hendaklah dia itu memuliakan jirannya. Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia itu memuliakan tetamunya” (Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Sekian sahaja untuk entri kali ini. Wallahu’alam

No comments: